Sabtu, 18 Disember 2010

Hijrah Duat Ke Syam Adalah Jihad Di Jalan Allah

Dr Solah Sultan (IM Online 15/12/2010)

Khalifah Abu Bakar as-Siddiq telah menyiapkan empat ketumbukan tentera untuk membuka negeri Syam. Beliau telah memilih panglimanya yang paling berkebolehan, mahir dan terlatih untuk memimpin tentera-tentera ini. Beliau juga telah menetapkan misi dan visi setiap penglima ini:

1. Pasukan pertama diketuai oleh Yazid bin Abu Sufyan yang akan menghala ke Balqa’ di Jordan

2. Pasukan kedua dibawah pimpinan Syarahbil bin Hasanah ke kawasan Basra

3. Pasukan ketiga dipimpin Abu Ubaidah bin al-Jarrah yang akan memimpin tenteranya ke kawsan al-Jaabiah. Turut serta dalam pasukan ini Khalid bin Said

4. Pasukan keempat dipimpin Amru bin al-Ass yang akan ke Palestin

Abu Bakar (ra) juga memerintahkan mereka agar saling berkerjasama antara satu sama lain dan apabila keempat-empat tentera ini bergabung, tampuk kepimpinan tentera dipegang oleh Abu Ubaidah bin al-Jarrah (ra).

Abu Bakar (ra) melepaskan mereka dengan kata-katanya: “Jangan kamu membunuh orang-orang tua, atau kanak-kanak dan wanita. Jangan memusnahkan rumah atau sebaraang perjanjian yang ada. Jangan kamu memotong pokok berbuah atau membinasakan binatang kecuali untuk dimakan. Jangan membakar atau menenggelamkan ladang-ladang kurma. Kamu juga jangan melakukan maksiat dan atau bersifat pengecut...”.

Kepada Amru bin Al-Ass (ra) diberikan wasiat rabbaniah ini: “Kamu perlu mengikut jalan Iliyya’ sehingga sampai ke bumi Palestin. Awas jangan lalai dari apa yang aku perintahkan kepada kamu. Jangan pula kamu merasa lemah dan berkata: Anak Abu Qahafah memerintahkan aku memerangi musuh sedangkan aku tidak berupaya melakukannya. Ketahuilah wahai Amru, sesungguhnya bersama kamu dalam pasukan ini ramai para Muhajirin dan Ansar dari kalangan ahli badar. Kamu hendaklah muliakan mereka, mengetahui hak-hak mereka dan jangan bersikap angkuh terhadap mereka dengan jawatan kamu itu. Jadilah seperti mereka dan berbincanglah dengan mereka dalam setiap urusan kamu. Peliharalah sembahyang dan peliharakan sembahyang, azankanlah apabila sampai waktunya. Kamu hendaklah sentiasa berwasada dari musuh-musuhmu, perintahlah tenteramu sentiasa berjaga. Dengan itu kamu akan berjaya menjadi pemimpin mereka”.

Jumlah tentera tersebut sekitar 24,000 orang. Setelah itu, kekuatan mereka ditambah dengan ‘Ikrimah bin Abi Jahal (ra) dan kumpulannya, khusus untuk menghadapi tentera Rom yang amat ramai jumlahnya. Berlakulah pertempuran yang dahsyat dengan Rom tanpa menyebelahi mana-mana pihak. Allah memberi hidayah kepada Abu Bakar untuk membertikan semangat baru kepada tentera Islam. Lalu beliau mengungkapkan kata-katanya yang masyhur tertulis dalam kitab-kitab sejarah: “Demi Allah, aku akan melenyapkan was-was syaitan dalam tentera Rom itu dengan Khalid bin al-Walid”.

Setelah itu Abu Bakar as-Siddiq telah mengutuskan Khalid agar segera menuju ke Sham bersama separuh tenteranya yang ketika itu berada di Iraq dan bertemu dengan Abu Ubaidah dan tenteranya. Khalid juga diperintahkan mengambil kepimpinan seluruh tentera Islam. Dalam masa yang sama, As-Siddiq menulis kepada Abu Ubaidah, memberitahunya apa yang akan dilakukannya. Dalam surat itu tertulis: “Aku telah melantik Khalid untuk mengetuai perang menentang Rom di Sham dan jangan ingkarinya. Kamu perlu dengar dan taat arahannya. Aku telah melantiknya sebagai ketua kamu sedangkan aku mengetahui kamu lebih baik darinya. Namun aku merasakan bahawa dia mempunyai kepakaran perang yang melebihi kamu dalam keadaan sebegini. Semoga Allah menginginkan kepada kita dan kamu jalan petunjukNya”.

Khalid bin al-Walid mematuhi perintah khalifah. Dia keluar dari Al-Hiirah di Iraq pada 13 Safar bersama 19,000 orang tenteranya. Dia menuju ke sebelah kiri kemudian naik (ke utara) untuk mengharungi padang pasir Samawah dalam satu dari expidisi tentera yang paling berani dan paling bahaya tercatat dalam sejarah ketika itu. Beliau dan tenteranya telah berjalan sejauh lebih 1000 kilometer dalam hanya 18 hari di padang pasir yang panas terik, sehinggalah beliau sampai ke pintu timur Damsyik. Kemudian beliau telah meneruskan perjalanan sehingga bertemu dengan Abu Ubaidah di al-Jaabiah. Mereka bertemu dan membawa tentera masing-masing ke Basra.

Tentera Islam semuanya bersatu di bawah pimpinan Khalid bin Al-Walid. Mereka kemudian mengepung Basra dengan satu kepungan yang paling ketat sehingga Basra terpaksa memohon perdamaian dan membayar jizyah kepada Islam. Khalid menerima permohonan damai ini lalu Allah bukakan kota Basra pada 13 Rabiul Awal. Ini merupakan bandar pertama yang dibuka di Syam secara damai. Mereka dijamin keselamatan nyawa, harta dan anak-pinak mereka dengan jizyah yang mereka akan bayar kepada Islam.

Selepas kejatuhan Basra, Herkules (Maharaja Rom) telah mempersiapkan tentera yang amat besar untuk memerangi Islam. Dia menghalakan tenteranya ke Ajnadin di selatan Palestin. Di sana, golongan nasrani arab dan Syam juga bergabung dengan mereka. Khalid pula mengatur lebih 40,000 orang tenteranya secara lebih tersusun dan merancang untuk mempraktikkan satu susunan tentera belum pernah dibuat sebelum itu. Inilah kali pertama tentera Islam berhimpun dalam jumlah yang ramai untuk menghadapi satu peperangan besar melawan Rom yang dibarisi hampir 90,000 orang tentera.

Khalid telah menyusun tenteranya di bahagian kanan, kiri, hadapan dan belakang. Beliau menugaskan panglimanya iaitu Muaz bin Jabal di bahagian sayap kanan, Said bin Aamit di bahagian kiri. Abu Ubaidah pula memimpin pasukan pejalan kaki di bahagian tengah hadapan. Manakala Said bin Zaid pula memimpin tentera berkuda. Khalid pula tidak pernah tetap kedudukannya, sentiasa ke sana dan kemari untuk memberikan semangat kepada tenteranya untuk berperang. Beliau merangsang mereka untuk bersabar dan teguh, memberi semangat kepada mereka. Beliau juga mengarahkan sayap wanita untuk berada di belakang tentera islam, agar mereka sentiasa berdoa kepada Allah , memohon kemenangan dan pertolonganNya, di samping ini juga akan memberikan dorongan maksima kepada tentera lelaki.

Setelah solat Subuh 27 Jamadil Akhir tahun 13 hijrah, Khalid memerintahkan agar terteranya mara menghampiri tentera Rom. Beliau pergi kepada setiap bahagian tenteranya dan berkata: “Bertaqwalah kepada Allah wahai hamba Allah. Perangilah kerana Allah. Perangilah siapa yang kufur dengan Allah dan jangan kamu berpaling lari. Jangan kamu hinakan diri kerana musuh kamu tetapi maralah persis singa dalam keadaan kamu bebas dan mulia. Kamu telah mengatakan tidak kepada dunia , dan ini telah mewajibkan ganjaran akhirat kepada kamu. Jangan kamu merasa gerun dengan bilangan mereka yang kamu lihat terlalu ramai. Ini kerana Allah akan menurunkan hukuman dan azabNya ke atas mereka”. Kemudian beliau berkata dengan penuh semangat: Wahai manusia, jika begitu aku telahpun sanggup bertahan (menanggung segalanya), maka sanggupilah (bertahan bermati-matian demi Allah).

Khalid ingin melewatkan peperangan sehingga sampai waktu Zohor dan angin bertiup. Itulah waktu perang yang amat disukai oleh Rasulullah, walaupun untuk menunggu saat itu, beliau (Khalid) terpaksa berdiri bertahan lama.

Tentera Rom pula berasa ujub dengan bilangan mereka yang ramai, tertipu dengan kekuatan dan persiapan mereka. Tentera Rom pun memulakan serangan. Khalid mara ke depan tentera berkuda muslimin dan berkata: “Bertahanlah dengan nama Allah, semoga Allah merahmati kamu”. Mereka bertahan dengan gagah berani sehingga menggegarkan musuh-musuh mereka. Tentera berkuda dan berjalan kaki muslimin merempuh barisan musuh lalu memecahkan kesatuan mereka serta melumpuhkan kekuatan mereka. .

Apabila panglima Rom melihat kekalahan yang pasti kepada tenteranya, dia berkata kepada pegawai-pegawainya: “Selubungkan kepalaku dengan kain”. Mereka kehairanan dengan permintaannya lalu dia menjelaskan: “Hari ini hari kekalahan dan aku tidak suka melihat kekalahan. Aku juga tidak pernah melihat kekalahan yang lebih teruk dari ini”.

Tak lama selepas itu, tentera muslimin berjaya memenggal kepalanya dalam keadaan masih berselubung . Lumpuhlah kekuatan tentera Rom dan mereka menyerah kalah. Ketika berita ini sampai ke telinga Herkules, dia jatuh pengsan kegerunan.

Bilangan korban di pihak tentera Rom amat besar, melebihi ribuan korban manakala di pihak muslimin, bilangan syuhada’ seramai 450 orang.

Ketika perang berakhir dan kemenangan telahpun dicapai, Khalid menghantar surat kepada Khalifah Abu Bakar as-Siddiq, memberitahu berita kemenangan dan rampasan perang yang dikurniakan Allah. Dalam surat itu disebut: “Wahai as-Siddiq, sesungguhnya kami telah bertembung dengan pihak musyrikin yang telah menghimpunkan tentera yang amat ramai di Ajnadin. Mereka mengangkat lambang salib dan kitab mereka serta bersumpah tidak akan lari dari medan. Kami keluar menghadapi mereka dengan keyakinan teguh dan penuh bertawakal kepada Allah. Kami rejami mereka dengan lembing-lembing dan beradu pedang dengan mereka. Kami adalah lawan mereka dalam setiap sudut peperangan. Segala pujian kepada Allah kerana Allah telah meneguhkan agamaNya, menghinakan musuh-musuhNya dan berlaku baik kepada wali-waliNya”.

Apabila Abu Bakar membaca surat itu, beliau amat gembira lalu berkata: “Alhamdulillah kerana telah memenangkan kaum muslimin dan menyejukkan hatiku dengan kemenangan ini”. Cerita ini dari riwayat yang thiqah dari kitab Tarikh at-Tobari, Ibnu al-Athir, al-Azdi dan Hasan Ibrahim.

Inilah catatan sejarah agung berkenaan hijrah dan jihad para daut. Dengannya Allah menghapuskan was-was syaitan dalam hati tentera Rom. Ketika kekuatan Parsi penyembah api telah lumpuh, mereka (para mujahid dan duat ) ini bersegera menghala ke empayar Rom penyembah Salib tanpa perayaan atau lengah. Mereka beradu dengan Herkules dan tenteranya dengan seluruh sifat kepahlawanan dan keimanan. Mereka memberikan Rom apa yang mereka tidak jangkakan, sehingga matahari Rom mereka terbenam di bumi Syam. Selepas itu, berkumandanglah azan melaungkan kalimah tauhid di setiap tempat.

Sehinggalah jiwa-jiwa telah berubah, dari hijrah dan jihad kepada jumud dan kerehatan. Hati berubah dari jihad kepada hanya mementingkan kerja dan hasilnya. Ketika itu tangan-tangan kita akan berlumuran debu dan kelak urusan kita akan dipegang oleh bajingan dari musuh Islam di setiap tempat.

Wallahuakbar Walillahil Hamd

Jumaat, 10 Disember 2010

boleh pandang-pandang, jangan pegang-pegang

Perjalanan ke Kuala Lumpur baru-baru ini seusai sambutan maal hijrah sebenarnya telah menjelaskan lagi yang telah tersuluh, betapa kehidupan sosial masyarakat malaysia khususnya melayu adalah begitu kronik. Mana sahaja aku pergi kudapati pergaulan begitu bebas samada pasangan yang nampak jelas muslimnya (bertudung) ataupun yang lebih kurang dengan orang lain.
Sekilas aku teringat sabda Rasulullah: Takutkan kamu akan dunia (terjebak dalam fitnahnya) dan takutlah kamu kepada fitnah perempuan, kerana awal kebinasaan bani Israel adalah kerana perempuan. Di sini aku yakin, bahawa aspek pergaulan inilah yang menjadi bibit kemusnahan awal bangsa melayu yang kini telah mencair adab keislaman dan adat kemelayuannya.
Tiba-tiba terngiang di telinga lagu yang dipasang oleh driver bas Sani Express yang aku naiki. Aku memang suka bermusafir dengan bas kerana ia membolehkan kita tidur berehat sepanjang malam selepas siang hari padat dengan tugas-tugas. Lagu tadi bunyinya begini:

kalau berpacaran memang banyak pantang larang
menjaga susila ibubapa adik abang
apabila berdua carilah tempat yang terang
agar tidak pula mencuba aksi terlarang


boleh pandang-pandang, jangan pegang-pegang
duduk renggang renggang bertambah sayang
biar malu-malu biar segan segan
kerna malu itu perisai orang beriman...


kalau berpacaran jangan tunggu lama-lama
kalau dah berkenan jumpalah ayah dan mama
hantarlah rombongan meminang dengan segera
kalau dah terlambat kekasihmu di sambar buaya



(monolog dari syaitan)
Kita sambung cerita kalau kamu berdua aku lah ketiga
Aku penambah perasa akulah pendera nafsu serakah
Hai teruna bikin perangai selamba hati si dara kata tak apa
berani buat terima padah...

hehehe, kelakar lagunya kan. Lagu baru Suhaimi Meor Hassan (yang memang ku minat sedari kecil) rupanya. Sedap juga lagu "Kalau Berpacaran" ni ye, catchy, ala-ala pop yeh yeh... namun begitulah pesanannya jika ambil di sudut positif dan menjaga adat kemelayuan.

Walaupun begitu dalam islam , hatta pandang-pandang pun dijaga agar pandangan itu jangan menjebakkan diri dalam pengaruh syaitan, jangan menimbulkan berahi dan sebagainya. Apatah pula duduk berdua (seperti yang diceritakan dalam monolog syaitan tu).
Hmmmm. Apa yang kulihat gelagat muda dan mudi, amat membingitkan perasaan dan merisaukan emosiku sebagai seorang bapa. Aku amat membimbangi gejala sebegini menjadi bertambah parah dibilahan hari mendatang di mana anak-anak perempuanku sedang membesar dikala dalam rumah dipenuhi siaran TV yang menggalakkan gejalan-gejala sebegini berlaku.
Perjalanan ku atur sehingga kembali ke kaki rumah ku, disambut isteri dan anak-anak... dan bekas kerisauan ini ku pendam dalam tekad untuk berusaha sebaik mungkin agar anak-anak ku menjadi orang beriman yang terhindar dari gejala sosial sebegini. Benarlah kata-kata rasulullah untuk menghindari perkara ini hanyalah dengan perkahwinan kerana perkahwinanlah pencegah dan ubatnya. Anak-anak ini perlu dijaga seumpama menatang minyak penuh dan kemudian diberikan dengan akad, kepada lelaki soleh yang mampu membimbingnya persis Muhammmad membimbing Khadijah dan Ibrahim membimbing Hajarnya.

Rasulullah bersabda: Siapa yang diberikan dua orang anak perempuan lalu dia menjaganya dan mendidiknya dengan sempurna , tiada halangan untuknya dari memasuki syurga.


Semoga Allah membantuku... dan semua ibubapa yang beirman...
kerna malu itu perisai orang beriman... kerna malu itu perisai orang beriman...

abuusaid 7 disember 2010 (1 Muharram 1432)
Metc, Taman melawati , KL (Ketika mesyuarat MGB)

Ahad, 16 Ogos 2009

MADRASAH RAMADHAN

Ramadhan menjelang lagi. Tahun ini telah hampir 31 tahun aku berpuasa. Saban tahun menjelang puasa, perasaanku berbaur. Ketika di zaman kanak-kanak, aku begitu bosan menyambut ramadhan kerana aku tak bebas makan kerana itu kegemaranku. Aku terpaksa berlapar dan itu payah untuk ku terima. Aku juga tidak boleh banyak tidur, banyak tengok tv kerana ibarat kata emakku: Itu mengurangkan pahala puasa. Pendekkata, aku agak terbelenggu dengan kedatangan Ramadhan.
Ketika remaja aku mulai mengerti erti berpuasa. Kurasa semakin seronok berpuasa. bermula dengan seronok menyantap hidangan-hidangan berpelbagai khas dalam bulan puasa sahaja, kemudian keseronokan dapat mengenal erti kesusahan dan kehidupan. namun pelbagai kesilapan masih ku lakukan dalam puasaku. Semoga Allah menerimanya.
Ketika meningkat dewasa, aku mula ingin menghayati puasa. Namun aku masih belum pasti taraf puasaku kini. Ku harap ia diterima Allah dan dimaafkan segala kekurangannya. Ku ingin menjadi insan yang lebih bertaqwa, dan lebih insaf akan erti perhambaan diri kepada Allah. Ya Allah, permudahkan urusan hambaMu ini.
Rasulullah bersabda: Antara Ramadhan ke Ramadhan adalah penghapus dosa antara keduanya sekiranya dia tidak melakukan dosa besar.
Aku ngeri akan sabda Rasul: Betapa banyak orang yang berpuasa tetapi tidak mendapat apa-apa dari puasanya melainkan lapar dan dahaga. Betapa malang jika kelaparan, kehausan dan keletihan kita berpuasa, tidak dinilai sedikitpun oleh Allah. Semoga Allah menilai baik segala amalanku ini dan terimalah ia ya Allah dari amalanku yang soleh.

Ramadhan ini
ertinya aku berpuasa lagi...
entah untuk keberapa hari
dan entah untuk berapa hari lagi

Ku dalam perjalanan mencari ilahi
Reda dan qabul-Nya amat dinanti
Mungkin ia sangat sukar
tetapi itulah kerja untuk yang berhati tabah
Rijal yang menjadi rahib kepada tuhan
dan menjadi Faris kepada Umat

Di MAdrasah Ramadhan ini
Ku kuatkan iman dan taqwa
agar benar-benar memenuhi sifat
perisai agama
agar aku bersama-sama
dikelompok para salaf dan solehin.

Ahad, 5 Julai 2009

AL-AMIN KT BERSAMA HIJJAZ


Alhamdulillah. Kesyukuran ke hadrat ilahi kerana dengan limpah dan inayahnya, majlis malam amal al-amin bersama Hijjaz telah berlansung dengan lancarnya. Sehingga saat-saat akhir kami masih menerima tempahan meja iaitu sehingga jam 10 pagi hari kejadian. Secara muktamadnya, bilangan meja yang ditempah ialah sebanyak 61 buah meja, Alhamdulillah.
Secara umumnya kebanyakan berpuashati dengan tempat, makanan dan layanan serta tidak ketinggalan juga persembahan pada malam itu. Majlis ini dirasmikan sendiri oleh Pengerusi Musleh Berhad iaitu Ust Megat Mohamad Amin bin Megat Mohamad Nor.


Menganjurkan majlis besar sebegini sememangnya amat memenatkan. Dah hampir sebulan bertungkus lumus mencari pelanggan, memastikan pelanggan hadir dan menempatkan hadirin ke meja masing-masing dalam proses match and tawakkal. Pada hari kejadian (Jumaat 3 julai) seawal pagi, pengerusi ALP dan Pengarah program sendiri telah datang ke sekolah mengangkut ke semua barangan yang hendak di bawa ke TTI. Selepas jumaat, para urusetia mula berbondong-bondong datang mengemaskinikan tempat. Selepas asar pula, kumpulan nasyid soutul amin dan Hijjaz datang untuk reherseal. Dan Alhamdulillah, tepat jam 8.45 malam, majlis berjaya dimulakan, setelah doa dan harapan menggunung dari pihak yang terlibat.


Malam Amal Al-Amin ke 2: Bersama Hijjaz dipengerusikan secara berduet oleh Muallim Wan Ahmad Zuki dan Muallim Azharul (ex muallim SRIAAKT). Majlis bermula dengan bacaan al-Quran yang amat menyejukkan hati para hadirin dari adik Abd Rahman Ahmad Tirmizi (11 tahun) yang mentartilkan surah al-Waaqiah. Begitulah juga ucapan perasmian ust Megat amat memberikan makna kepada perjuangan sekolah kelolaan musleh ini.


Satu acara yang amat meriah pada malam tersebut ialah lelongan amal dua buah lukisan hasil garapan pelukis batik terkenal di Terengganu ini iaitu En Ahmad Nashidi Ismail , merangkap parent di SRIAAKT juga. Lukisan pertama dibida seorang usahawan jualan langsung En Zubair dengan harga RM350.00. Lukisan kedua menyaksikan pertarungan tiga penjuru untuk lukisan yang diletakkan harga mula RM500 dan harga akan dinaikkan sebanyak rm50 setiap pusingan. Bidaan dimulakan dengan en Zakaria Ngah dengan harga RM500. Gendang bersambut oleh En Zubair dan seorang pembida lain yang tidak diketahui namanya sehingga saat ini. Sehingga harga melambung sehingga RM1100, di kala En Zubair seakan-akan telah menang, muncul seorang usahawan wanita Puan Wan Khatijah Najihah, mengangkat tangan untuk bidaan RM1150 dan bidaan itulah yang menjadi penamat acara tersebut. Setelah tamat, barulah diketahui bahawa puan Khatijah ni adalah isteri kepada pembida misteri tersebut. Kira pakai proksi lah ni. Alhamdulillah, RM1500 masuk ke kantung dana al-amin apabila hasil lelongan tersebut disumbangkan pelukis tersebut kepada Al-Amin.
Setelah itu, Hijjaz tampil menyampaikan 10 buah lagu-lagu popular mereka , diselangi dengan nyanyian nasyid dari kumpulan nasyid Soutul Amin yang disambut dengan tepukan gemuruh oleh para hadirin. Dalam majlis tersebut, Hijjaz juga telah menyampaikan cenderamatanya kepada pihak sekolah yang diwakili oleh Guru Besarnya sendiri.


Majlis tamat jam 11.30 dan Hijjaz masih terus diraikan selepas itu dengan majlis tandatangan autograf dan bergambar sehinggalah lewat jam 12.30 malam dan semua bersurai. Kami bagi pihak sekolah mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada setiap hadirin, setiap yang menyumbang, setiap urusetia yang bertungkuslumus, pibg dan alp yang menolong, pengurusan TTI terutama YM Engku Azmi (Managing Director TTI) , En Khamsa (pengurus pemasaran TTI) dan Pn Lee Soong (Pengurus Bahagian Tempahan dan Event) dan En Saiful (Co Ordinator TTI) yang mengawal selia semua aturan majlis tersebut. Juga tidak ketinggalan juga Ust Megat dan Kumpulan Nasyid Hijjaz kerana menyerikan majlis kami ini. Semoga ikatan ukhuwwah yang dibina berpanjangan.


Kami pulang ke rumah kepuasan dan keletihan. Malam itu kami tidur senyenyak-nyenyaknya, Alhamdulillah, semoga amalan diterima ilahi. Wassalam

Isnin, 22 Jun 2009

SRIAAKT KINI DI BUKIT BERANGAN

15 Jun akan terpahat dalam sejarah SRI Al-Amin sebagai hari pertama operasi kami di bangunan baru kami. Alhamdulillah perit getir dan penat lelah memindahkan segala barangan selama lebih 3 hari kepada warga al-amin akhirnya berbaloi. Kami kini sudah boleh untuk memikirkan langkah seterusnya dalam memperdanakan lagi keselesaan proses pembelajaran dan pengajaran kami di sini.


Kepada yang ingin berurusan dengan SRIAAKT, kami infokan di sini maklumat asas terbaru berkenaan sekolah kami ini.


Alamat:

SRI Al-Amin Kuala Terengganu

Lot 12107, Kg Pulai Baru, Bukit Berangan,

21300, Kuala Terengganu


Telefon :

09-6675485 (talian pejabat) dan 09-6675486 (faks)

Mobile pejabat: 014-8275773


Semua warga Al-Amin dijemput bersama memeriahkan sekolah kami dan mendokong dengan apa yang termampu untuk menjulang tinggi pendidikan Islam khususnya di daerah Kuala Terengganu ini.


Rabu, 27 Mei 2009

SELAMAT BERPINDAH


SRIAAKT. Alhamdulillah, bangunan SRIAAKT di Bukit Berangan sudah hampir siap dan ALP telah memberikan lampu hijau untuk pihak sekolah berpindah ke lokasi tersebut dalam musim cuti pertengahan ini. Insya Allah, berikut adalah jadual proses perpindahan tersebut:


28 Mei (Khamis) : Program gotong royong membersihkan Bangunan sementara SRIAAKT di Padang air dan menyusun meja serta packing buku dan fail-fail
1 Jun (Isnin): Mesyuarat ALP dan Kontraktor serta arkitek di tapak sekolah di Bukit Berangan
12 dan 13 Jun (Jumaat dan Sabtu): Gotong royong memindahkan barang dari Padang Air ke Bukit Berangan
13 Jun : Kenduri Kesyukuran Perpindahan bersama parent, pelajar dan masyarakat kampung , jam 11-3 Petang.

Dalam masa cuti ini, pejabat beroperasi dari SRIAAKT Padang air antara jam 8.00 pagi hingga 2.00 petang.
Doakan semuanya akan berjalan lancar. Untuk kemudahan, saya sertakan peta lokasi SRI Al-Amin yang baru. Sekian , Wassalam.

Selasa, 28 April 2009

HARI SUKAN SEKOLAH DENGAN BI`AH SOLEHAH




















Semangat anak-anak sememangnya amat kuat. Staminapun mengalahkan orang-orang tua. Mereka tidak mengah untuk berlari-lari seharian walaupun ketika dalam kelas. Jesteru, ketika berada di padang untuk hari sukan, mereka mengerah sepenuh kudrat untuk menang di padang.
Semangat untuk berjuang bersungguh-sungguh demi memartabatkan pasukan, berdaya saing dan tidak gentar hadapi cabaran inilah yang cuba diterapkan dalam program Hari Sukan SRIAAKT 2009 yang berlangsung pada 25 april 2009. Bertemakan Sukan Menyemai Ukhuwwah, diharapkan program sebegini dapat menyemai dan mengukuhkan tali persaudaraan antara pelajar, guru dan ibubapa.

Sewajarnya ia dianggap program yang paling menarik secara tahunan, kerana sambutannya amat menggalakkan dan ia berlangsung amat meriah. Ketika anak-anak sedang bersukan dipadang, ibubapa memberikan sokongan moral untuk anak-anak mereka. Sebaliknya pula bila tiba giliran ibubapa yang beraksi (dalam acara jemputan), anak-anak memberikan sorakan yang gemuruh kepada semua terutama kepada para muallim-muallimah mereka yang telah berhari-hari berpenat lelah mengendalikan latihan mereka.

Diselitkan beberapa gambar program hari sukan SRIAAKT untuk tatapan. Majulah Sukan Untuk Dakwah.

Kini tibalah masanya
melaksanakan amanah
membangunkan ummah

Semangat kesukanan suatu perjuangan
mencapai kejayaan
hari sukan sekolah dengan biah solehah

kemenangan kegagalan adat dalam perjuangan
Akhlak dalam kesukanan mari kita amalkan
bersukan sihatkan badan berakhlak sihatkan iman
yang menang merendah diri yang kalah usaha lagi....






Teringat pulak pesanan Al-Banna: Sukan kita adalah untuk mendidik jiwa bukannya untuk mengangkatkan kepada (meninggi diri).